top of page
bernama.com

Forum Teknologi Hijau Dalam Perniagaan Diadakan Bulan Depan


(Berita dipetik dari Bernama.com)

Tarikh kemaskini: 23/08/2017

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Para pakar mengenai bandar raya hijau dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan rantau Asia Tenggara akan berkongsi idea serta membicarakan tentang manfaat, cabaran, pragmatisme dan potensi membangunkan bandar raya tanpa sampah dan plastik dalam bidang perniagaan pada Forum Bandar Raya Hijau 8 Sept ini. Sebagai sebahagian daripada Konvensyen Bandar Raya Pintar dan Perdagangan Masa Depan Selangor 2017, forum itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, dengan menampilkan penceramah dari Indonesia dan Filipina, bersama-sama pakar pelupusan sampah dan usahawan alam sekitar tempatan untuk berkongsi buah fikiran tentang cara untuk menjadikan perniagaan bercirikan hijau, tetapi mampu menjana keuntungan. Ucaptama akan disampaikan penyelaras program alam sekitar Pusat Pembangunan Serantau PBB Choudhury Rudra Charan Mohanty bagi meneroka pragmatisme, cabaran dan potensi untuk mewujudkan masyarakat cekap dan sifar sampah di Malaysia. Sementara itu, satu sesi sembang santai bertajuk 'Keuntungan Hijau, Peluang Hijau' akan dihoskan Puteri Sultan Selangor Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ketua pegawai eksekutif The Body Shop (Malaysia) Datin Mina Cheah-Foong. "Sesi ini akan membicarakan tentang ancaman besar terhadap ekonomi, perbadanan dan malah bandar raya serta bagaimana perniagaan mereka dan masyarakat menggunakan pertumbuhan lebih hijau dan lestari, di samping strategi ampuh untuk mengekang dan meminimumkan ancaman terhadap masa depan kita," kata Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) dalam kenyataan hari ini. Forum itu juga akan membariskan beberapa anggota panel serantau pada sesi bertajuk 'Membebaskan Diri Daripada Plastik dan Membina Bandar Raya Hijau' termasuk ketua pegawai eksekutif Greeneration Indonesia Muhammad dan pengerusi eksekutif Setia Haruman Sdn Bhd Ahmad Khalif Mustapa Kamal. -- BERNAMA


18 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page